BATU GAJAH – Kedai kopi cukup sinonim dengan penduduk kampung. Pergilah ke mana sahaja pelosok kawasan, pasti ada kedai kopi. Biasanya ia menjadi tumpuan masyarakat mengikut kaum masing-masing.

Namun, berbeza dengan kedai kopi di Plaza Batu Gajah, Jalan Pandak Akhat di sini, menjadi tumpuan penduduk setempat tidak kira dari kalangan masyarakat Cina, India mahupun Melayu.

Pelanggannya bukan sahaja orang biasa, malahan golongan profesional, pemimpin kerajaan dan lain-lain lagi.

Itulah keunikan RM Corner yang dikerumuni setiap lapisan masyarakat sejak awal pagi tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersarapan.

Pemiliknya, Ramli Musa, 46, berkata, beliau dan isterinya, Nur Misha Yoon Abdullah, 42, memulakan perniagaan sejak sembilan tahun yang lalu.

Bekas tukang masak di Hotel Excelsior itu berkata, mereka mengambil masa sekitar dua tahun untuk mendapatkan keyakinan pelanggan.

“Semuanya bermula selepas saya berkahwin dengan isteri pada 2005, dan beliau mencadangkan supaya bekerja sendiri dalam menjana ekonomi keluarga.

“Pada mulanya saya agak khuatir sebab belum pernah berniaga dan hanya makan gaji, namun bila dikenangkan rezeki ALLAH SWT itu luas, saya tekad teruskan,” katanya.

Ramli berkata, awal pembukaan premis lagi mereka diuji apabila disangka bukan Islam hingga tiada pelanggan Melayu yang singgah minum.

Katanya, sekitar 2009 barulah pelanggan Islam datang makan di kedainya, setelah mengetahui beliau dan isteri beragama Islam.

“Pemecah tradisi dimulakan kumpulan anak muda Under One Flag (UOF), mereka kerap hadir beramai-ramai, kemudian saban hari makin ramai pelanggan Islam makan di sini.

“Dahulu pernah saya ditanya pelanggan adakah saya pekerja asing dari Thailand atau Indonesia, saya tergelak dan menyatakan saya anak tempatan beragama Islam. Malah isteri saya pernah dipuji kerana pandai memilih warga asing pandai memasak masakan Cina,” katanya.

Beliau berkata, pelanggan RM Corner meningkat mendadak hasil perkongsian orang ramai dari bibir ke bibir dan bantuan media sosial seperti Facebook dan Instagram.

“Mereka menerima maklum balas daripada rakan Muslim lain yang pernah ke sini untuk menikmati hidangan tempatan Cina tetapi dimasak orang Muslim.

“Moto kalau tak sedap bagitahu kami, sedap bagitahu kawan-kawan, menjadikan RM Corner pilihan pelanggan dan keyakinan orang ramai bertambah dan percaya makanan dihidangkan di sini halal,” katanya.

Ayah kepada dua anak ini berkata, beliau amat gembira kedai makan miliknya menjadi tumpuan pelbagai bangsa.

“Saya bersyukur ke hadrat ALLAH SWT kerana kedai kami mendapat jolokan kedai 1Malaysia diterima baik seluruh lapisan masyarakat.

“Mereka duduk semeja bersama keluarga masing-masing dan mencerminkan bangsa Malaysia bersatu serta hidup aman damai,” katanya.

Pelanggan setia, Mior Mohd Wazzir Zainu, 32, berkata, beliau sering berkunjung ke RM Corner bagi menikmati mi papan sambal.

“Jarang kita nak jumpa orang Melayu beragama Islam pandai masak masakan Cina, bila mencuba dan kemudian kena dengan tekak, maka berulanglah saya ke sini.

“Dulu memang saya sekadar lalu je, tak singgah pun, malah ketika belum ramai pelanggan Muslim makan di sini, ada yang bertanya saya halalkah makan di situ, kini boleh dikatakan ramai pelanggan RM Corner terdiri pelanggan Melayu,” katanya.

Bagi Edi Mus Faisel Ismail, 34, RM Corner jadi pilihan keluarga setiap hujung minggu walaupun pelanggan ramai.

“Memang kalau hari Ahad penuh orang, dulu senang nak dapat tempat duduk, sekarang kena tengok masa,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.