SELAIN menikmati makanan yang lazat, pengunjung akan mendapat satu ketenangan jika datang bersama kenalan, pasangan atau ahli keluarga. Dengan bertemakan alam semula jadi yang memenuhi ruang dindingnya nyata memberikan aura santai dan damai.

Menggunakan susun atur dekorasi serba ringkas dan minimalis, ia mewujudkan situasi eksklusif buat pengunjung yang hadir, tidak kira untuk lepak minum mahupun buat hadiri sebarang acara mahupun perbincangan.  

Menurut Pengarah Urusannya, Sasya Ahmad Sebi, pembukaan cawangan pertama ini bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk terus mendapatkan pilihan makanan terbaik.

“Kami memilih Damansara Uptown kerana kawasan kejiranannya yang dinamik dan pelbagai. Dengan pelbagai kemudahan dan lebih mesra pastinya mampu berkembang maju.

“Berkolaborasi dengan ikon fesyen yang juga rakan kongsi iaitu Wak Doyok akan memberi satu keyakinan dalam perniagaan makanan dan secara tidak langsung menyokong bakat anak tempatan dalam industri makanan dan minuman,” katanya.

Makanan Timur-Barat

Mengenai hidangan yang disajikan di sini, pengunjung pasti berpuas hati kerana ia gabungan makanan barat dan tempatan. Istimewanya menu di sini benar-benar memberi satu revolusi kepada orang ramai.

Kafe yang terletak dalam sebuah pusat membeli-belah ini juga menyajikan pilihan yang cukup menakjubkan bermula daripada menu yang ringan, hidangan utama dan pencuci mulut.

Anda disyorkan untuk mencuba Spicy Sausage Ikan Bilis dengan Nordic Salad bagi pencinta salad kerana kombinasi sayuran segar dan isi ketam lembut akan membuatkan setiap kunyahan benar-benar bermakna.

Selain itu, antara menu yang patut dicuba adalah Embassy Nasi Istimewa yang menjadi salah satu tarikan di kafe ini. Gabungan nasi goreng resipi tersendiri dan dihidangkan sekali dengan ikan bilis pedas dan sambal tempe, kubis goreng, ayam pindang, popadom, telur mata serta kerabu mangga melengkapkan hidangan tersebut.

Bagi yang ingin menikmati makanan barat, apa kata anda mencuba Spaghetti aglio dengan ketam kulit lembut, Rack of Lamb dan The Ambassador iaitu patty daging lembu yang dipanggang dan diletakkan keju serta sos BBQ Hickory.

Sementara untuk pemanis mulut, kafe ini turut menyediakan manisan yang betul-betul luar biasa iaitu Eton Mess menyajikan gabungan meringue, krim dan buah-buahan segar di dalamnya. Manakala Sago Kg Melaka ialah makanan tradisional yang telah dikomersialkan serta dihidangkan dengan buah-buahan segar yang dipotong dadu.

Penggemar kopi juga boleh menjadikan The Embassy Cafe sebagai salah satu port pilihan kerana pelbagai kopi yang bermutu tinggi ditawarkan. Biji kopi yang dipanggang segar ini adalah yang terbaik di seluruh dunia dan akan dibuat secara terus kepada pelanggan setelah mendapat tempahan.

Tempahan majlis

Suasana yang mendamaikan di The Embassy Cafe sangat sesuai untuk orang ramai yang ingin mengadakan sebarang majlis. Boleh memuatkan 50 orang untuk ruang dalam dan 30 orang untuk bahagian luar ia boleh dipilih berdasarkan tema.

Biasanya majlis yang kecil dan sederhana sangat sesuai seperti mesyuarat korporat, sambutan hari jadi, majlis koktel, pelancaran produk atau majlis-majlis khas dan makan malam peribadi.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.