MENJADI penggemar makanan laut memberi ilham buat pasangan suami isteri dari Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, untuk mengusahakan gerai makan dengan menyediakan pelbagai menu istimewa berasaskan ketam, udang dan sotong.

Pengusaha Warong Makngah, Kamsiah Khamis, 33, berkata, dia bersama suaminya Md Nazri Md Yusof, 37, mengusahakan perniagaan berasaskan makanan laut sejak lebih tiga tahun lalu.

Menurutnya, gerai diusahakan terletak di tepi jalan berhampiran Masjid Muslim Belimbing Dalam, sentiasa mendapat sambutan bukan sahaja daripada penduduk sekitar malah dari luar Melaka.

"Di sini kami sediakan apa saja menu masakan panas antaranya mi goreng ketam, bakso istimewa ketam, nasi goreng Upin-Ipin ketam, char kuetiau ketam selain maggie goreng istimewa ketam.

"Kesemua menu ini dijual dengan harga RM15 sepinggan, malah terdapat juga menu burger istimewa ketam pada harga RM10. Manakala bagi udang dan sotong pula, dikenakan harga RM8 sepinggan," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Kamsiah, operasi perniagaannya bermula pada jam 1 petang hingga malam kecuali cuti setiap Selasa.

Menurutnya, dia mengutamakan pemilihan bahan mentah segar khususnya ketam, termasuk menitikberatkan kebersihan ketam sebelum dimasak.

"Mulanya saya hanya masak mi ketam untuk ahli keluarga makan, tapi dapat maklum balas positif. Mereka galak saya buka warung.

"Selain ikhlas, apa yang penting jujur iaitu memilih bahan mentah segar supaya pelanggan berpuas hati. Saya percaya sikap itu akan buatkan mereka akan datang lagi selain menyampaikan dari mulut ke mulut,” katanya.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu, menu lain yang turut mendapat permintaan tinggi pelanggan termasuk masakan barat seperti chicken chop dengan harga RM6 sepinggan, selain turut menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan dari rumah ke rumah.

"Di sini juga kami perkenalkan menu asam pedas istimewa yang menggunakan variasi ikan seperti mayong, ikan duri, ikan pari, ikan parang, mabong, tenggiri dan tehel.

"Paling istimewa asam pedas telur ikan. Bekalan telur diperolehi setiap hari daripada pembekal," katanya.

Ujarnya, bagi menu itu pelanggan boleh menikmatinya dengan harga RM 7 hingga RM10 bagi satu set lauk berserta nasi putih, dimasak menggunakan resipi dipelajari daripada arwah ibunya, Allahyarham Asmah Khamis.

Kata Kamsiah, gerainya turut menawarkan minuman istimewa seperti ABC biasa, ABC triple, cendol biasa, cendol trilayer, bandung trilayer, bandung laici dan air buah-buahan bermula daripada harga RM 1.50 hingga RM4.

Tambahnya, orang ramai juga boleh membuat tempahan lauk seperti sotong sumbat, siput sedut masak lemak dan lain-lain dengan berkunjung ke warungnya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.