DEKORASI kedai yang dekat dengan sosial dan budaya masyarakat setempat yang tinggal di kawasan pesisir pantai merupakan konsep yang amat sesuai dengan menu utamanya, nasi dagang.

Kedai Nasi Dagang Seberang Titi itulah nama yang menjadi jolokan penduduk setempat dan penggemar nasi dagang yang melalui Jalan Kuantan-Johor Bahru itu.

Nama jolokan itu diberikan kerana pelanggan perlu menyeberang parit untuk ke kedai dengan melalui titi yang disediakan.

Replika bot dan sampan masing-masing satu di dalam parit dan satu lagi di tepi kedai pula membawa konsep kehidupan nelayan yang suatu ketika dulu menjadi pekerjaan utama penduduk setempat.

Terletak di Kampung Sungai Puteri, Kuala Rompin, umum mengetahui nasi dagang merupakan makanan tradisional yang sinonim dengan Terengganu namun rasa asli itu turut boleh didapati di sini.

Mewarisi resipi ibu yang juga menjalankan perniagaan sama sejak kira-kira 35 tahun lalu, Hasliza Wahid, 46, nekad meneruskan legasi perniagaan itu biar pun tidak berada di bawah bumbung yang sama.

Menurutnya, dengan bantuan suaminya, Abdullah Jusoh, 59, pelbagai penambahbaikan dilakukan seperti hiasan dan keadaan di sekeliling kedai sebagai tarikan kepada pengunjung yang hadir supaya mereka berasa lebih selesa.

“Nasi dagang yang kami sediakan di sini memang asli dari Kuala Terengganu dengan resipi rempah buatan sendiri yang diturunkan oleh ibu. Setahun sekali kami akan ke sana untuk dapatkan rempah ratus.

“Ia melibatkan tujuh campuran rempah ratus yang diambil di Pasar Payang dan kemudiannya terus diproses di sana sebanyak 100 kilogram bagi stok setahun sebelum dibawa pulang. Kami buat sendiri bermula dari membasuh, jemur, goreng hingga proses mengadun rempah dengan mesin,” katanya.

Kedudukan kedai yang berada di tepi jalan menjadikan ia mudah dilihat dan ditemui oleh sesiapa yang mencarinya serta dibuka bermula jam 6.30 pagi hingga 12.30 tengah hari manakala tutup setiap hari Isnin.

Selain nasi dagang, kedai itu juga menyediakan menu istimewa lain seperti nasi lemak kukus dan nasi minyak serta pelbagai jenis kuih tradisional yang dihantar oleh penduduk setempat.

“Nasi lemak kukus yang kami tawarkan di kedai ini juga tak kurang istimewanya kerana proses pembuatan sambal yang agak berlainan. Kami rebus cili kering selama lima jam sebelum dikisar dan ditumis dengan bahan lain,” katanya.