KEENAKAN rasa pelbagai jenis sup di Warung Sup Sempoi yang terletak di Jalan Tunku Asaad, di sini menjadi tarikan ramai pengunjung dalam dan luar negeri.

Warung kecil yang terletak di tengah-tengah Pekan Kulim itu mampu menggamit kenangan sesiapa sahaja yang menikmati pelbagai sup dijual di situ.

Pemilik warung, Azman Mat Yusuf, 49, menu sup yang dijualnya itu juga adalah warisan turun temurun daripada arwah bapanya yang memulakan perniagaan pada 1978 di situ.

"Saya dah berniaga di sini hampir 20 tahun selepas arwah ayah meninggal.

"Resipi buat sup juga warisan daripada arwah ayah, namun untuk ikut selera pelanggan, ia perlu diubah suai sedikit tapi masih kekalkan ciri tradisi," katanya.

Bapa kepada lima anak itu berkata, set nasi sup adalah paling digemari pelanggan tanpa mengira lapisan masyarakat.

"Pelanggan boleh pilih sup ikut citarasa. Nasi dimakan bersama cili potong berkicap dan air asam istimewa menambah keenakan dalam setiap suapan.

"Kami juga sediakan nasi istimewa dengan resipi tersendiri yang sangat wangi dan menyelerakan apabila dimakan bersama sup," katanya.

Azman yang turut dibantu seorang isteri, Suhaili Samsudin, 37, berkata, harga yang ditawarkan mereka juga berpatutan dan berbaloi.

"Harganya pula bersesuaian untuk semua iaitu RM5.80 untuk sup daging, ayam atau perut manakala RM6.80 untuk sup campur," katanya.

Tambahnya, warungnya mula dibuka kepada pelanggan pada jam 10 pagi hingga 5 petang dan beroperasi lima hari seminggu kecuali Jumaat dan Sabtu.

“Gerai kita buka setiap hari kecuali hujung minggu Jumaat dan Sabtu. Pelanggan akan mula ramai pada waktu makan tengah hari,” katanya.

Azman yang memiliki perwatakan mesra dan ramah turut menarik hati pelanggan untuk terus setia menikmati menu sup di warungnya.

“Kita berniaga bukan fikir nak untung tapi perlu ramah dengan pelanggan barulah mereka selesa ditambah mula makanan yang disediakan ikhlas barulah cukup pakej.

“Memang ramai pelanggan tetap saya dari zaman arwah ayah lagi, dulu masih kecil sekarang sudah berkeluarga bawa anak dan isteri pula ke sini, Alhamdulillah saya harap mereka tak akan pernah jemu dengan sup ini,” katanya.

Selain itu katanya, warungnya turut menyediakan pelbagai jenis masakan lain termasuk masakan panas seperti nasi goreng, dan mi goreng.

“Untuk penuhi permintaan pelanggan kami juga sediakan pelbagai menu lain dengan harga berpatutan mengikut selera mereka,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BAGI peminat nasi kandar khususnya Nasi Kandar Haji Ramli, kini tidak perlu pening kepala untuk pulang ke Kedah semata-mata menikmati hidangan istimewa itu kerana ia sudah berada di Seksyen 13, Shah Alam.
  • MENGAMBIL pendekatan menerusi minat dan perkembangan terkini di laman sosial, seorang pemuda di Rantau Panjang mengolah resipi ais krim mengikut cita rasa penduduk setempat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.