PEMILIK Kisya Bakery, Zakina Mohamad Zohaidi mengakui tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan setiap hari ditambah pula menggunakan sistem manual untuk membuat donut.

Menurutnya, sebanyak 500 donut dihasilkan melalui tiga adunan setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan dan selalunya menjelang jam 2 petang, donut habis di borong pelanggan.

“Kebanyakan pelanggan akan membeli sekurang-kurangnya 10 biji donut. Ada yang menempah untuk jamuan di pejabat, makan petang dan sebagainya,” katanya.

Zakina berkata, selalunya pelanggan buat tempahan awal bagi memudahkan pengambilan donut, selain memberi perkhidmatan terbaik kepada mereka.

Walaupun terpaksa berdepan dengan keadaan harga bahan yang tidak menentu, Zakina mempunyai misi untuk menjual donutnya kepada semua lapisan masyarakat dengan harga yang mampu dibeli.

“Kita mahu pengeluarannya berkualiti dan banyak supaya lebih ramai dapat merasai donut Kisya. Memang kita tidak letak harga tinggi kerana selebihnya kita niat untuk bersedekah,” katanya.

Tambahnya, dia bersyukur dapat mengekalkan harga tersebut sejak memulakannya pada 2014 dan berhasrat meneruskan pada masa akan datang selagi mendapat permintaan daripada pelanggan.

“Sebelum ini, saya cuba banyak produk untuk jualan dan akhirnya donut menjadi killer product untuk kedai ini,” katanya.

Bagi perancangan jangka panjang, Kisya Bakery akan menjalankan operasinya melalui trak makanan kerana lebih fleksibel dan mudah untuk pelanggan pada masa sama memberi peluang warga Ipoh menikmati donut Kisya.

Beroperasi di Jalan Greentown 1, Greentown Nova, Kisya Bakery dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 7 malam.

Selain donut Kisya, terdapat lima lagi donut termasuk tiramisu, cookies, coklat leleh, strawberi, sarang lebah serta mexico bun, benjo telur, tart telur dan cream puff dengan harga di bawah RM2.