MAKAN beramai-ramai dalam satu hidangan meja besar sememangnya suatu momen santai yang menggembirakan.

Apatah lagi, jika disertai rakan taulan atau keluarga yang sekian lama tidak bertemu untuk dirai.

Namun, ada peraturan tidak langsung yang perlu anda ikuti saat bersantap di Crab Hut yang terletak di P2 Shaftsbury Square Cyberjaya ini. Tanggalkan segala aksesori perhiasan di jari tangan, kemaskan rambut dan kenakan apron plastik kerana ini lebih memberikan
keselesaan.

Selepas membuat pesanan mengikut menu dan jumlah yang anda inginkan, pelayan akan menuang makanan laut di atas meja makan beralas kertas minyak anti robek.

Tiada pinggan, piring, sudu, garfu mahu pun chopstick tetapi sekadar sepana atau crab mallet (palu khusus untuk makanan laut).

Menggunakan tangan, menggigit ketam spanner berserta lobster dengan potongan scapllops dalam menu asam pedas kari sangat mengucurkan liur.

Hidangan semakin enak diiringi nasi goreng Jambalaya dan cendawan goreng enoki, jagung manis rebus berserta raja ketam dan ketam cangkerang yang lembut. Mengujakan!

Semua tetamu diizinkan membuat ‘pergaduhan bising’ di meja makan. Makan dan bersembanglah sesuka hati. Ketuklah ketam sampai hancur pun, tiada tamu dari meja sebelah yang akan berasa hairan. Pendek kata, tak perlu ‘cover ayu’.

Itulah gaya makan ala Louisiana, wilayah Selatan Amerika, yang menjadi konsep dan ciri-ciri khas Crab Hut.

Diilhamkan oleh Bangga Raya Sdn Bhd, Pengusahanya, Miss TY berkata, konsep makan sebegini sudah lama diterima masyarakat di Malaysia memandangkan makanan laut juga lebih senang dimakan menggunakan tangan berbanding sudu dan garfu.

Pilihan mengagumkan

Untuk kepuasan pelanggan, menu dan sos boleh dipilih mengikut tahap kepedasannya. Mulai dari sos mild, medium yang dipadu dengan zesty lemon dan garlic butter (percuma), hingga sos o’ly crab atau double death yang lebih pedas hasil gabungan jamba-jamba dan signature southern bang.

Hanya tambahan RM5 bagi sos ekstra pedas ini.

Ketika dihidangkan sos ekstra pedas untuk mengiringi ketam spanner yang dihidangkan kepada penulis, tercium aroma bawang putih dan kari yang sememangnya menjadi idaman. Tergoda dengan ukurannya yang besar, penulis langsung mengupas cangkerangnya
mencari isi ketam yang manis memikat.

Udang putih turut menjamah lidah. Walau rasa sosnya lebih pedas, masih tidak menghilangkan rasa manis daging udang.

Crab Hut adalah cawangan kepada restoran Crab Factory yang terletak di SS2 Petaling Jaya namun kedua-dua restoran ini tidak menggunakan kaedah central kitchen (dapur pusat) sebaliknya dikendalikan barisan chef berasingan.

“Crab Hut mesra Muslim dan telah pun mendapatkan pengiktirafan sijil halal. Saya gemar melancong ke luar negara. Dari pengalaman makan di restoran di sanalah mula memberikan idea untuk saya membuka restoran Crab Factory.

“Memandangkan masyarakat di Malaysia berbilang kaum dan agama, terdetik untuk saya membuka restoran berkonsepkan sama untuk pelanggan dan rakan-rakan saya tetapi tidak menghidangkan arak dan pork. Maka lahirlah Crab Hut yang mesra Muslim sejak November tahun lalu,” ujar Miss TY.

Cara menikmati makanan di sini bermula dengan langkah 1; membuat pilihan makanan laut yang digabungkan berdasarkan cita rasa sendiri seperti lobster, yubbies, king crab, babby octopus, mussels, scallops, white prawn dan shipper lobster.

Langkah 2; pilih sos dan langkah 3; pilih hiasan atau tambahan makanan berupa potato, enoki mushrooms, corn, chicken sausages, button mushrooms atau king mushrooms (add on bag buddies) dan tunggu sehingga makanan dihidangkan.

Hidangan lain yang terdapat di sini adalah traditional submarine sandwich dari Louisiana, fried chicken strips dan mixed seafood matriciana spaghetti juga BBQ.

Penulis amat tertarik dengan hiasan roda basikal yang disusun bertindan tindan di dinding, ilham Miss TY sendiri. Konsep dekorasi restoran yang mengetengahkan elemen tradisional moden dengan rona redup pasti memberikan keselesaan kepada anda saat menikmati hidangan di sini

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.