PENGGEMAR makanan ala barat kini mampu menikmati makanan itu pada harga mampu milik dengan kepelbagaian menu yang diubahsuai mengikut cita rasa pelanggan.

Sebanyak 17 menu boleh dinikmati orang ramai antaranya 'chilli cheese fries', 'tenderloin black pepper steak' dan 'max grilled' bermula pada harga RM5.80 hingga RM19.80 di warung D’Teratak yang terletak di Lot 10, Kampung Kebun Bunga, Batu 3 berdekatan kilang gula CSR, di Shah Alam.

Pemilik warung, Sharif Abdulla Sani, 37, atau mesra disapa Ayip berkata, menu yang paling mendapat permintaan adalah 'chilli cheese fries' iaitu gabungan cili dan keju bagi membangkitkan rasa masam dan sedikit pedas ketika menikmati kentang goreng.

“Biasanya hidangan kentang goreng ini dinikmati bersama sos atau tomato. D'Teratak ubah suai bagi mencipta kelainan kepada peminat kentang goreng.

Hidangan kentang goreng di D'Teratak telah diubah suai dan citarasanya lebih istimewa.

“Selain makanan ala barat, orang ramai juga boleh nikmati masakan Thailand seperti tomyam, sup, ikan siakap stim, pelbagai jenis nasi goreng,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Ayip,  nasi goreng D’Teratak merupakan makanan paling istimewa di warung itu yang akan diperkenalkan kepada pelanggan baru.

Hidangan nasi ini katanya, hampir sama dengan nasi goreng USA, tetapi dia dan isteri, Siti Norhafizah Alias, 37, mencipta kelainan dengan menggantikan daging kepada udang dan sotong bersama telur mata serta menggunakan sos black pepper.

“Campuran bahan-bahan ini bersama dengan sos black pepper memang membangkitkan rasa enak dan berbeza.  Bayangkan pelanggan kami buat pesanan yang sama setiap kali datang ke sini,” katanya yang berasal dari Sungkai, Perak.

Ayip yang menjalankan perniagaan itu sejak tahun 2004 berkata, warungnya turut menyediakan lima gerai kecil yang menghidangkan makanan yang berbeza seperti char kue tiaw, tauhu bakar, sotong kangkung, kerang bakar dan rebus, selain nasi ayam berempah dan nasi lemak ayam berempah (akan datang).

“Orang ramai juga boleh mencuba pelbagai minuman penghilang dahaga antaranya kopi dangdut, jus asam boi, laici kang dan banyak lagi,” katanya.

Selain ruang warung yang besar dan mampu memuatkan 40 meja pada satu masa, terdapat kemudahan lain seperti parkir, tandas dan tempat solat yang selesa disediakan kepada pengunjung.

Warung D’Teratak juga menerima tempahan orang ramai untuk mengadakan reunion, mesyuarat dan sebagainya dengan menghubungi talian 019-2871152 atau mengunjungi laman sosial Facebook warung D'Teratak.