BAGI peminat nasi kandar khususnya Nasi Kandar Haji Ramli, kini tidak perlu pening kepala untuk pulang ke Kedah semata-mata menikmati hidangan istimewa itu kerana ia sudah berada di Seksyen 13, Shah Alam.

Menggunakan resipi asli serta teknik masakan yang sama daripada pemilik asal, cawangan nasi kandar itu dibuka bermula 5 Januari lalu oleh chef selebriti, Mohd Nabil Md Salleh, 32, dengan nama Restoran Nasi Kandar Haji Ramli by Chef Nabil.

Mohd Nabil berkata, idea  membuka restoran tersebut timbul kerana beliau sendiri  penggemar nasi kandar dan mendapat inspirasi daripada pengasas nasi kandar berkenaan iaitu Ramli Hassan yang begitu berjaya dalam perniagaan tersebut.

Disebabkan itu, dia sanggup menemui pemilik asal restoran berkenaan untuk 'berguru' selama seminggu bagi mempelajari cara masakan serta resipi nasi kandar istimewa untuk dijual dalam versinya sendiri.

"Di sini, nasi kandar atau kita panggil nasi kuning dimasak dengan campuran kunyit, minyak goreng dari ayam rempah, kacang badam, gajus serta oat yang dikisar bersama bagi menghasilkan rasa lemak pada nasi tersebut.

"Nasi kuning itu akan disajikan  dengan kombinasi empat jenis kuah iaitu kuah dalca kaki ayam, kuah pedas, kuah sotong dan kuah hitam. Ia boleh dinikmati dengan 11 menu utama yang saya masak sendiri antaranya daging hitam, kari kambing, ayam madu, ayam goreng rempah, sotong masala, kari kepala ikan dan peria goreng," katanya.

Menu popular yang wajib ada setiap hari dan menjadi kegemaran pelanggan adalah kari kambing serta daging hitam.

Menurutnya, dalam masa terdekat, beliau juga akan menambah satu lagi menu iaitu ayam kampung goreng .

"Hampir sebulan lebih beroperasi, sambutan diterima sangat baik. 50 peratus pelanggan yang datang memang pelanggan yang meminati nasi kandar Haji Ramli dan selebihnya terdiri daripada peminat program Menu Alam di mana saya pernah terlibat selaku chef serta pengacara pada 2014 hingga tahun lalu," katanya yang memperuntukkan kira-kira RM70,000 untuk membuka restoran tersebut.

Menyentuh soal dekorasi kedai, Mohd Nabil berkata, buat masa ini, fokusnya lebih kepada mempromosikan serta menstabilkan perniagaan yang baharu diusahakannya.

"Tapi memang saya rancang buat konsep kedai ala restoran mamak yang lebih santai dan selesa untuk pelanggan....cuma ia hanya dapat dilaksanakan selewat-lewatnya tahun depan," katanya.

Restoran Nasi Kandar Haji Ramli by Chef Nabil beroperasi setiap hari kecuali Isnin bermula jam 10 pagi hingga 6 petang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEENAKAN rasa pelbagai jenis sup di Warung Sup Sempoi yang terletak di Jalan Tunku Asaad, di sini menjadi tarikan ramai pengunjung dalam dan luar negeri.
  • MENGAMBIL pendekatan menerusi minat dan perkembangan terkini di laman sosial, seorang pemuda di Rantau Panjang mengolah resipi ais krim mengikut cita rasa penduduk setempat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.