KEPAKARANNYA menyediakan makanan barat yang sedap dengan harga berpatutan membuatkan pemilik kedai Burn Western di Yan kini kian dikenali.

Abu Bakar Mohamad Bohri, 38, berkata, kedainya yang beroperasi sejak lima tahun lalu menyediakan hampir 20 jenis menu makanan barat.

“Saya mula meniaga sejak 20 tahun lalu. Macam-macam saya jual tapi sejak lima tahun lalu memang saya fokus pada menu makanan barat sahaja,” katanya ketika ditemui di kedainya di jalan Pantai Murni, di sini semalam.

Menurutnya, antara menu yang menjadi pilihan utama pelanggan di kedainya ialah chicken chop, lamb chop dan meatball di mana ia ditawarkan di antara RM10 hingga RM20.

“Saya turut menyediakan set talam bagi memudahkan mereka yang datang bersama keluarga.

“Set talam yang mengandungi lamb chop, chicken chop, meatball dan lain-lain berharga dari RM30 hingga RM45 serta boleh dimakan seramai empat hingga lima orang,” katanya.

Katanya, terdapat juga pelanggan yang menempah makanan melalui aplikasi WhatsApp sebelum datang ke kedainya.

“Dulu saya ada buat perkhidmatan penghantaran makanan tapi sekarang ni tak sempat sebab pelanggan di kedai saja dah terlalu ramai,” katanya.

Abu Bakar turut mempunyai pekerja seramai lima orang bagi membantunya menguruskan kedai.

“Kami sangat mementingkan kepuasan pelanggan dan saya berpuas hati sebab sekarang dah ada pelanggan tetap.

“Bila depa mai tu, saya dah boleh agak dah depa nak makan apa sebab mereka kerap datang makan di kedai saya,” katanya.

Terdapat juga pelanggan yang sanggup datang dari Pulau Pinang dan Perak semata-mata hanya untuk merasai hidangan enak di kedai milik Abu Bakar.