AYAM bakar madu memang amat menyelerakan, tetapi ada yang berfikir panjang untuk membelinya kerana harga agak mahal sehingga ada yang mencecah RM6 seketul.

Namun, di Pasar Malam Padang Tembak, Pengkalan Chepa penggemar ayam bakar madu boleh mendapatkannya hanya dengan harga RM1 sahaja bagi saiz kecil.

Bagi peniaga, Abd Ghani Ismail, 65, dia tidak memburu keuntungan semata-mata kerana baginya apa yang penting  dia dapat memenuhi selera si penggemar ayam bakar madu.

Berniaga secara ulang alik dari satu pasar malam ke pasar tani setiap minggu, Abd Ghani berkata,  dia masih lagi mampu untuk menjual ayam bakar dan tongkeng ayam dengan harga RM1.

“Biarpun tak untung banyak tapi saya dapat jual ayam bakar madu dan orang boleh beli dengan harga murah itulah rahmat buat saya.

“Kalau singgah di gerai saya, ibu bapa tak payah bimbang jika bawa anak-anak yang suka makan ayam. Dengan seringgit pun dah boleh bawa balik ayam bakar ke rumah,” katanya yang terkenal dengan gelaran ayam bakar madu  Kak Su Sri Cahaya Bulan.

Abd Ghani memberitahu resipi itu turun temurun daripada sanak-saudaranya dan itulah yang memberi kelebihan kepadanya untuk terus berniaga ayam bakar sejak tujuh tahun lalu.

Bapa kepada 10 anak itu juga bersyukur kerana 20 kilogram ayam yang dijualnya akan habis dan jarang tidak habis.

“Alhamdulillah. Di sini pun, tiga kepak ayam bakar pakcik jual dengan harga RM5 sahaja,” katanya yang sentiasa menjaga tempoh perapan ayam untuk mengekalkan keenakannya.

Ayam madu yang dibakar rangup di luarnya dan apabila dimakan terasa pedas, manis dan masin serta lemak itu, enak dinikmati begitu sahaja ketika panas dan sejuk, ataupun dimakan bersama nasi kosong, bihun goreng dan nasi kerabu. Pasti menambat selera.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.