JIKA berkunjung ke Melaka, masakan asam pedas memang tidak asing di sana. Namun, penggemar menu serupa di Kuala Rompin masih boleh menikmati hidangan itu dengan keenakan rasanya yang asli.

Anda boleh cuba memasaknya sendiri di rumah kerana cara penyediaan dan bahan diperlukan cukup mudah. Keenakannya pula, bergantung kepada teknik memasak dan bahan yang dipilih.

Pelbagai jenis ikan boleh digunakan untuk masakan asam pedas tetapi kepala ikan tanda menjadi pilihan chef Rompin Beach Resort, Khairul Anuar Mamat, kerana kesegaran dan isinya yang enak.

Bagi bahan tumisan, 500 gram cili kering dikisar berasingan dengan bahan lain iaitu dua ulas bawang merah, satu inci kunyit hidup, satu inci lengkuas dan satu inci halia.

Bahan lain yang diperlukan ialah air asam jawa, terung panjang, tomato, daun kesum dan untuk perasa pula perlukan belacan, gula, garam serta lada hitam yang ditumbuk.

Khairul Anuar berkata, untuk mendapatkan rasa asam pedas yang enak, beliau menumis cili kering yang dikisar tanpa mencampurkan bahan lain sehingga ia garing atau naik minyak.

Kemudian, masukkan bawang yang telah dikisar bersama bahan lain dan tunggu dalam tiga minit sebelum masukkan belacan secukup rasa yang diikuti sedikit air, terung panjang yang dipotong, daun kesum, kepala ikan dan tunggu hingga ia mendidih.

Jelasnya, untuk mengetahui sama ada kepala ikan sudah masak atau belum, ia boleh lihat pada mata ikan berkenaan.

“Jika mata ikan sudah terkeluar, itu tanda ia sudah masak dan bolehlah masukkan bahan lain iaitu kira-kira enam sudu air asam jawa, gula dan garam secukup rasa, lada hitam yang ditumbuk dan tomato, kemudian kacau.

“Kepekatan kuah bergantung kepada individu yang memasak kerana jika mahu ia pekat boleh dibiarkan, namun jika mahu lebih banyak kuah boleh tambahkan air. Panaskan lagi beberapa minit dan sudah boleh dihidangkan,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.