BAGI yang mahukan kelainan menikmati makan malam dengan pemandangan tasik boleh mencuba Anjung D Tasek Biru terletak di Tasik Biru Kundang, Rawang.

Mulai beroperasi kurang setahun pengunjung mempunyai pilihan menjamu selera bagi menu utama steamboat selain pilihan lain set kuali dan ala carte.

Lebih 50 pilihan bufet disediakan bagi penggemar steambot terdiri makanan laut, sejuk beku, sayuran dan juga pencuci mulut terdiri buah-buahan dan aiskrim.

Lebih istimewa pemilik sama bagi restoran D’Manggis turut menawarkan perapan daging lembu, ayam dan kambing menggunakan lada hitam dan sate.

Setiap meja boleh memuatkan sehingga lapan orang dengan plate yang besar untuk sup dan membakar.

Menurut pemilik restoran, Shaharom Abu Sari, 49 restoran berkonsepkan ala tradisional dengan pemandangan tasik itu dijamin memberikan perkhidmatan terbaik dengan harga berpatutan bagi kepuasan pelanggan yang menjadi keutamaan.

Tambahnya, kebanyakan makanan laut dan perapan daging yang disediakan dijamin kualiti dan kesegarannya.

“Menggunakan resipi tersendiri kami memberikan jaminan pelanggan akan berpuas hati. Kebanyakan pelanggan yang datang di sini tidak tertumpu dalam kawasan Kuang sahaja sebaliknya serata negeri termasuk dari Terengganu, Johor Bharu dan Melaka.

“Restoran kami lebih dikenali dalam kalangan pengunjung luar berbanding penduduk tempatan. Suasana di sini sangat bersesuaian bagi mereka yang berkeluarga mahupun rakan-rakan yang meraikan ulang tahun perkahwinan ataupun hari jadi,” katanya.

Katanya, mampu memuatkan sehingga 500 pengunjung dalam satu masa, kemudahan lain turut disediakan bagi keselesaan pengunjung.

“Selain tandas dan surau, kami menyediakan dewan seminar yang dibuka untuk sewaan dan sebuah dewan terbuka untuk majlis perkahwinan atau acara bersesuaian.

“Pengunjung digalakkan untuk membuat tempahan awal bagi hujung minggu atau cuti umum bagi mengelakkan perlu menunggu lama untuk menjamu selera,” katanya.

Tambahnya, pihaknya turut menyediakan set kuali mengikut pakej sebagai pilihan bagi mereka yang mahukan kelainan selain steamboat.

“Selain pakej ditawarkan tukang masak kami juga bersedia menyediakan hidangan mengikut cita rasa pelanggan yang tidak disenaraikan dalam menu disediakan.

“Ala carte turut tidak terkecuali bagi mereka yang datang dalam kumpulan kecil selain makanan barat yang tidak mengecewakan,” katanya.

Katanya, restorannya beroperasi setiap hari bermula jam 6 petang sehingga 12 malam bagi steamboat dan ala carte, sementara bagi waktu tengahari set ayam penyet, mi udang dan ketam turut ditawarkan kepada pelanggan.

Pakej perkahwinan dan katering turut disediakan restoran berkenaan, sebarang maklumat boleh berhubung terus dengan bahagian khidmat pelanggan atau melayari laman sosial facebook di Anjung D Tasek Biru.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.