SEORANG pereka grafik sanggup meninggalkan kerjaya impiannya semata-mata mahu menghasilkan sesuatu yang unik untuk penggemar ais krim.

Melissa Tan Chia Hui, 25, yang mesra dengan panggilan Melly berjaya mencipta ais krim nasi lemak sehingga mendapat permintaan ramai.

Disebabkan itu, menu unik ciptaan graduan Ijazah Sarjana Muda Rekaan Grafik Universiti Middlesex, London menjadi tular dalam kalangan netizen dan orang awam sejak Januari lepas.

Melly berkata, selepas tujuh bulan memperkenalkan ais krim nasi lemak di bawah jenama Skream Softserve, manisan berperisa unik itu terus mendapat sambutan dalam kalangan peminat ais krim.

"Kebanyakan pelanggan datang untuk cuba keunikan rasanya setelah melihat posting di Facebook dan Instagram berkaitan ais krim itu,” katanya.

Dia sanggup meninggalkan kerjaya impian sebagai pereka grafik di Pulau Pinang untuk menghasilkan ais krim ciptaan sendiri.

“Sejak dahulu, saya penggemar nasi lemak dan bercita-cita memiliki jenama sendiri, sebelum tercetus idea untuk menginovasi makanan tradisi Melayu ini,” katanya.

Menurutnya, dia mengambil masa hampir dua bulan mencipta resipi ais krim nasi lemak menggunakan resipi sendiri yang bersesuaian mengikut selera masyarakat.

"Berkat kesungguhan, saya berjaya hasilkan ais krim nasi lemak yang memiliki rasa lemak manis santan seakan-akan makanan kegemarannya itu.

"Ais krim berperisa unik santan dan serai dijual RM10 untuk satu cawan ini dihiasi bahan sepertimana nasi lemak, iaitu timun, telur burung puyuh, sambal ikan bilis dan kacang tanah," katanya.

Dia yakin, rasa ais krim itu tidak ubah bak nasi lemak kerana dia menggunakan bahan segar tanpa pengawet dan dilengkapi sambal kering.

Selain ais krim nasi lemak, dia turut menghasilkan perasa coklat, laici, vanila, lemon dan mulberi yang dijual antara RM8 hingga RM15 mengikut pilihan pelanggan.

Ais krim nasi lemak.

“Pada musim perayaan, saya buat ais krim berperisa seperti wasabi dan kuih kapit yang dijual pada masa tertentu.

"Kalau ada idea baru, saya janji akan hasilkan lagi banyak ais krim dengan rasa unik,” katanya.

Kini, Melissa berkolaborasi dengan pemilik Tifffz Coffe & Gallery, Simpang Kuala, di sini, selepas ais krim perisa itu yang dijual di sebuah kafe di Jalan Penjara Lama mendapat sambutan hangat.

Melissa berkata, dia sentiasa mengemas kini maklumat terkini berkaitan ais krim ciptaannya melalui Facebook Skream Softserve ataupun melalui Instagram skreamsoftserve.