BAGI penggemar makanan ringan terutamanya aiskrim, kiosk Roll Eroll yang terletak di Uptown Kontena, di sini wajib dikunjungi kerana ia bukan sahaja menawarkan pelbagai hidangan enak tetapi juga lain daripada yang lain.

Inisiatif yang diambil pemiliknya, Mohammad Airul Izham Mohd Yusri, 24, ini secara tidak langsung menjadikan kedai yang baru beroperasi Mac tahun ini mempunyai pelanggan tetap tersendiri.

Menurutnya, secara keseluruhannya, kira-kira 15 menu terdiri daripada aiskrim, makanan barat dan snek dijual di kiosknya itu.

"Menu yang paling orang suka adalah es manggo atau mangga yang dihidangkan seperti air batu campur bersama potongan buah mangga segar dan aiskrim," katanya.

Mohammad Airul berkata, idea memperkenalkan menu itu dibuat setelah dia mengambil kira kebanyakan minuman yang ditawarkan adalah berasaskan buah-buahan.

"Oleh itu terciptalah es manggo yang merupakan menu paling dapat permintaan tinggi pelanggan.

"KIta juga tawarkan aiskrim gulung dan waffle yang dihidangkan bersama aiskrim," katanya.

Tambahnya, sebelum membuka kiosk itu dia terlebih dahulu mengikuti kursus bagi memperkenalkan sesuatu menu baharu.

"Saya juga sedang ikuti kursus bagi mempelajari cara buat aiskrim bagi memastikan aiskrim dihasilkan di sini lain dari tempat lain," katanya yang merupakan pemegang diploma dalam bidang kejuruteraan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun.

Mohammad Airul Izham (dua, kanan) bersama kakitangan kiosk miliknya.

Menurut anak kelahiran Kampung Kijing, Marang ini lagi, keputusan memilih bidang perniagaan berbanding meneruskan kerjaya dalam bidang yang dipelajarinya itu dibuat adalah kerana minat setelah sering mengikut kedua ibu bapanya berniaga di kantin sekolah.

"Saya suka berdikari berbanding kerja dengan orang lain. Sebab itulah saya cabar diri untuk mulakan perniagaan dengan hanya dibantu dua pekerja," katanya.

Malah katanya, kini dia mempunyai empat pembantu.

"Buat masa ini saya tak cadang nak buka cawangan baru walaupun dapat permintaan tinggi.

"Paling utama saya nak perkemas dulu perniagaan sedia ada ini," katanya.

Mengimbau kembali pembabitan awalnya, Mohammad Airul Izham berkata, dia memulakan perniagaan dengan modal RM8,000 hasil elaun bulanan yang diperoleh daripada Program Usahawan Graduan Terengganu (PGUT).

“Saya mengikuti program ini selama setahun dan setiap bulan menerima elaun sebanyak RM1,000 dan modal untuk memulakan perniagaan itu hasil simpanan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.