JERANTUT - Persatuan Waris dan Keturunan Tok Shahrom - Tok Gajah - Mat Kilau (PWKTSTGMK) berusaha memindahkan makam Tok Gajah di Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Hulu Terengganu ke Kampung Kedondong, Pulau Tawar, di sini, tahun ini.   

Pengerusi PWKTSTGMK, Datuk Zulkifli Mohamad berkata, usaha itu dilaksanakan bagi menempatkan semula makam Tok Gajah di kampung asalnya berdekatan makam anaknya, Mat Kilau di Kampung Kedondong, Pulau Tawar yang kini digazet sebagai Kota Warisan di daerah Jerantut.

Menurutnya, Tok Gajah yang dikenali sebagai Imam Perang Rasu Shahrum adalah Orang Besar Raja Pahang dengan gelaran Orang Kaya Indera Gajah Pahang yang meninggal dunia pada 1901 dan dikebumikan di Pasir Nering, Kuala Berang.

“Usaha kami untuk memindahkan makam berkenaan telah dirintis pada awal penubuhan persatuan ini pada 2008 tetapi masih tidak kesampaian kerana masalah kewangan dan pengurusan tertentu.

“Kini ahli persatuan sudah bersedia melaksanakan pemindahan makam berkenaan membabitkan kos pengurusan bernilai RM100,000 serta mengharapkan bantuan kerajaan negeri untuk mempercepat usaha ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pertemuan dan mesyuarat dengan ahli jawatankuasa PWKTSTGMK di sini, semalam.

Zulkifli berkata, PWKTSTGMK perlu berunding dengan kerajaan negeri Terengganu, Muzium Terengganu, Jawatankuasa Pelancongan Negeri dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Pasir Nering.

Katanya, hal ini disebabkan makam berkenaan telah lama diselenggarakan mereka sebagai aset sejarah dan pelancongan di sana.

Menurutnya, PWKTSTGMK juga akan mendapat bantuan dan kerjasama kerajaan Pahang, cendekiawan sejarah dari universiti tempatan dan pakar forensik sebelum kerja pemindahan makam itu dilaksanakan nanti.

“Rundingan dengan Kerajaan Negeri Terengganu akan diatur dalam masa terdekat,” katanya.  

Beliau berkata, hasrat persatuan ini untuk mengembalikan legasi kegemilangan sejarah perjuangan Pahlawan Melayu Pahang, Tok Gajah, Mat Kilau dan Tok Bahaman untuk tatapan generasi akan datang khususnya merancakkan sektor pelancongan dengan wujudnya artifak di Kota Warisan di Pulau Tawar.

“Usaha ini antara lain untuk meletakkan status ketokohan Tok Gajah diburu penjajah British pada 1892 sehingga membawa diri ke Hulu Kelantan dan meninggal dunia di Hulu Terengganu merupakan tokoh yang berasal dari Pahang,” katanya.

Selain itu katanya, usaha persatuan itu untuk membetulkan fakta sejarah dalam kalangan generasi hari ini menganggap bahawa Tok Gajah dan Mat Kilau sebagai penderhaka seperti mana diuar-uarkan British sebelum ini.

“Usaha menyelenggarakan projek pemindahan makam Tok Gajah mendapat persetujuan dan kerjasama Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dalam pertemuan baru-baru ini,” katanya.