SIMPANG RENGGAM - Calon baru Barisan Nasional (BN) di Dun Machap menyatakan hasratnya mahu menjadikan kawasan berkenaan sebagai satu pusat pendidikan yang terkemuka di daerah ini.

Abd Taib Abu Bakar adalah calon baru yang diumumkan oleh Setiausaha Kerja BN Johor, Ramli Bohani, kelmarin untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Antara pusat pengajian yang dijangka akan diwujudkan adalah sebuah kolej kemahiran atau kampus institusi pengajian tinggi (IPT) untuk keperluan penduduk di Parlimen Simpang Renggam.

Abd Taib yang menggantikan bekas penyandang Adun Machap iaitu Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman merupakan seorang guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdul Rahman Andak, Simpang Renggam.

Menurutnya, dengan mewujudkan pusat pendidikan di pekan Machap secara tidak langsung dapat menarik lebih ramai pengunjung luar di samping meningkatkan ekonomi masyarakat di kawasan Machap.

Abd Taib juga menyatakan bahawa beliau akan berusaha untuk merealisasikan impian mewujudkan sebuah sekolah menengah di Pekan Machap kerana perancangan telah dijalankan tetapi kelulusan tanah masih belum diperoleh lagi setakat ini.

“Saya juga berusaha untuk menjadikan Empangan Machap yang sedia ada ini sebagai pusat rekreasi kerana di kawasan ini tiada tempat untuk masyarakat beriadah dan secara tidak langsung dapat menarik kunjungan orang ramai.

“Bagi membantu masyarakat di sini celik IT, satu pusat komputer juga akan diwujudkan untuk penggunaan dan pembelajaran serta akan ditempatkan di satu tempat bersesuaian bagi membolehkan semua golongan memanfaatkannya,” katanya.