ALOR SETAR - Dua sahabat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan membuat dan memiliki wang palsu berjumlah RM900 di Pokok Sena, bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh, Ahmad Helmi Osman, 26 dan Intan Zaleha Mohd Zaki, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, Ahmad Helmi dan Intan Zaleha dituduh bersama-sama seorang lagi memiliki wang kertas enam keping RM100 siri nombor AQ9504020, ZT2724747, BT2724424, BB4724772 dan BQ4274347 yang palsu.

Manakala bagi pertuduhan kedua pula, mereka didakwa membuat dan memiliki peralatan bagi tujuan pemalsuan mata wang kertas terbabit.

Dalam pada itu, Ahmad Helmi turut didakwa atas satu lagi pertuduhan berasingan iaitu memiliki tiga keping RM100 siri nombor BT2724424, BM0298435, ZT2724747 yang palsu.

Ketiga-tiga kesalahan itu dipercayai dilakukan mereka di rumah nombor 23, Kampung Budi, Mukim Lesong, 06400 Pokok Sena, kira-kira jam 3 petang, 5 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 489 (C) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan Seksyen 489 (D) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 20 tahun.

Prosiding kes yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur menawarkan wang jaminan sebanyak RM30,000 bagi dua pertuduhan bersama dan RM10,000 bagi tuduhan berasingan.

Bagaimanapun selepas mendengar rayuan daripada kedua-dua tertuduh, mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM8,000 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan bersama.

Manakala bagi pertuduhan berasingan terhadap Ahmad Helmi, wang jaminan sebanyak RM4,000 ditetapkan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Oktober depan untuk sebutan semula kes bagi ketiga-tiga pertuduhan dan lantikan peguam.