KUALA LUMPUR - Seorang pemandu Grab mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, dua bulan lepas.

Azri Ismail, 45, didakwa dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah ke atas suri rumah Noor Aishah Ahmad, 44, dengan menumbuk muka hingga patah bahagian hidung di sebuah premis di Taman Aman Putra Jinjang Utara di sini pada 12 tengah hari, 27 Julai lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum menerusi Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothi tidak menawarkan jaminan, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan kepada mahkamah.

Hakim Mahyon Talib tidak membenarkan tertuduh diikat jamin serta menetapkan 14 September untuk sebutan semula kes dan tertuduh kemudian dibawa ke Penjara Sungai Buloh. - Bernama