KUANTAN - Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tuduhan menyalahgunakan wang bukan miliknya berjumlah RM36,113.32.

Hafizan Mohd Norwawi, 30, anggota tentera berpangkat koperal itu, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Majistret, Nor Azizah Aling.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Prabu Parimuthu mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan, serta denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa telah menyalahgunakan harta  iaitu wang berjumlah RM36,113.32 milik individu lain yang ditunaikan di sebuah mesin ATM di stesen Petronas Jaya Gading di sini, antara 28 Mac hingga 22 April 2018.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin bercagar.

Kes disebut semula pada 5 Oktober depan untuk pengurusan kes.