KUALA LUMPUR –  Sebuah syarikat pengurup wang dan dua pegawai kanannya didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan mengemukakan pernyataan palsu kepada Bank Negara, Mac lepas.

Syarikat Lucky Money Changer Sdn Bhd yang diwakili pengarah eksekutifnya Nazeer Ahamed Shahul Hamid, ketua pegawai eksekutifnya, Sharulnizam Saari, 46, dan Nazeer Ahamed , 44, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin, Hakim Zamri Bakar dan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu selaku Orang Kena Saman didakwa telah mengemukakan suatu pernyataan palsu kepada Bank Negara Malaysia berkaitan “ledger for Travelex Malaysia Sdn Bhd” di syarikat tersebut yang beralamat di Lot GO41, Mid Valley Megamall, Lingkaran Syed Putra, di sini pada 9 Mac lepas.

Sharulnizam dan Nazeer Ahamed masing-masing turut didakwa atas pertuduhan sama iaitu sebagai ketua pegawai eksekutif dan pengarah eksekutif syarikat tersebut telah mengemukakan suatu pernyataan palsu bagi tempoh antara 1 Disember 2017 dan 31 Jan lepas di tempat dan tarikh sama.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 35(b) Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang 2011 (Akta 731) dibaca bersama Seksyen 80 akta sama dan boleh dihukum di bawah seksyen 35(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Bank Negara Steve Chin Yun Cheong yang mengendalikan ketiga-tiga kes mencadangkan wang jaminan masing-masing RM150,000 terhadap Sharulnizam dan Nazeer Ahamed berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Sharulnizam yang tidak diwakili peguam memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan dia perlu menanggung keluarganya manakala Nazeer Ahamed yang diwakili peguam Khairul Anuar Kashim juga memohon perkara sama dan memberitahu keadaan kewangan anak guamnya kini tidak berapa stabil selain tiada kebarangkalian untuk melarikan diri.

Hakim Zamri Bakar membenarkan Sharulnizam diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri kepada Bank Negara setiap bulan.

Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail membenarkan Nazeer Ahamed diikat jamin RM150,000 dengan seorang penjamin dan turut mengarahkan pasport tertuduh  diserah kepada mahkamah.

Ketiga-tiga mahkamah menetapkan tarikh sebutan sama iaitu 26 Okt untuk sebutan semula kes. - Bernama