SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua anggota polis dari Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti rasuah bagi menutup saman yang dikeluarkan, sejak enam tahun lalu.

Mereka yang berpangkat Sub Inspektor dan Sarjan masing-masing berusia 23 dan 38 yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bukit Aman ditahan jam 12.30 tengah hari serta 9 malam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.

Menurut sumber, kegiatan rasuah mereka telah dilakukan sejak 2012 dengan memperoleh suapan secara puratanya antara RM300 hingga RM500.

"Kami percaya bahawa mereka merupakan dalang kes ini," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: SPRM tahan tiga polis tutup saman]

Katanya, kes tersebut merupakan susulan tangkapan tiga anggota polis semalam dipercayai mempunyai rantaian rasuah yang sama.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan.

Perintah tahanan reman selama enam hari dikeluarkan Majistret Shazali Hidayat Shariff hari ini.