KUALA LUMPUR - Kes saman kartunis Zunar terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kerajaan Malaysia berhubung penahanan secara salah serta rampasan buku dan baju T miliknya pada satu majlis dua tahun lepas, selesai secara baik hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam merekodkan penyelesaian itu dalam kamarnya selepas Peguam Kanan Persekutuan Kamal Azira Hassan yang bertindak bagi pihak PRDM dan kerajaan dan peguam Latheefa Koya yang mewakili Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwarul Haque bersetuju untuk menyelesaikan kes saman tersebut.

Latheefa yang ditemui pemberita berkata semua barang yang dirampas iaitu buku dan t-shirt dipulangkan kepada Zunar.

Beliau berkata  defendan iaitu PDRM dan kerajaan juga bersetuju membayar ganti rugi (ex gratia)  kepada Zunar, bagaimanapun  jumlah bayaran itu tidak didedahkan kepada media.

Kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes hari ini.

Zunar selaku plaintif memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi dengan menamakan 16 anggota polis, dua pegawai, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Zunar mendakwa majlis minum petang anjurannya di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor (KLSCAH) pada 17 Disember 2016 diserbu pihak polis sebelum acara bermula pada jam 3 petang dan buku serta baju T miliknya dirampas.

Plaintif berkata, dalam serbuan itu pihak polis turut menangkap pembantunya dan dua orang awam yang menghadiri majlis terbabit, bagaimanapun enggan memberikan maklumat mengenai alasan tangkapan dan rampasan.

Beliau berkata, sejumlah 1,187 naskhah buku dan 103 helai baju T dirampas dan polis memaklumkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 124(c) Kanun Keseksaan (cubaan untuk melakukan aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen).

Beliau kemudian bersama pembantu dan dua orang awam yang ditangkap dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan hanya dibebaskan pada jam 3 pagi.

Plaintif seterusnya menyatakan bahawa tangkapan dan rampasan itu adalah tidak sah dan menyebabkan beliau mengalami kehilangan serta kerugian.

Sehubungan itu, Zunar menuntut daripada defendan, ganti rugi khas RM22,388 atau secara alternatif memulangkan buku dan baju T yang dirampas, ganti rugi penangkapan secara salah, ganti rugi kecuaian, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan serta perisytiharan bahawa defendan memungkiri kebebasan asasi plaintif. - Bernama