KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini mencadangkan supaya kes saman fitnah difailkan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadap Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan dua lagi atas dakwaan memanggilnya dengan kata kesat ketika sidang media di lobi Parlimen, diselesaikan secara baik.

Peguam K. Murali yang mewakili Khalid memberitahu pemberita bahawa Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aliza Sulaiman membuat cadangan itu semasa pengurusan kes di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam K. Shanmuga mewakili KiniTV Sdn Bhd.

Murali berkata pihaknya akan mempertimbangkan cadangan itu dan jika tiada penyelesaian dicapai oleh kesemua pihak, mahkamah menetapkan 1 dan 2 Nov serta 3 dan 6 Dis untuk perbicaraan kes.

Pada 26 April 2017, Tajuddin selaku plaintif menyaman Khalid, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) dan KiniTV Sdn Bhd selaku defendan selepas mendakwa Khalid telah mengeluarkan dua kenyataan berunsur fitnah terhadapnya termasuk memanggilnya dengan kata-kata yang kesat ketika mengadakan dua sidang media di lobi Parlimen, masing-masing pada 21 dan 24 Nov 2016.

Anggota Parlimen Pasir Salak, Perak itu mendakwa kenyataan pertama Khalid, yang juga Anggota Parlimen Shah Alam telah diterbitkan oleh NSTP melalui artikel bertajuk "Fury over Deputy Minister's Remark" pada 22 Nov 2016 dan kenyataan kedua defendan disiarkan di KiniTV pada 24 Nov tahun sama serta kedua-dua kenyataan itu juga diterbitkan di "You Tube", yang boleh diakses oleh orang ramai.

Dakwanya, kedua-dua kenyataan itu antara lain membawa maksud bahawa beliau tidak layak menjadi anggota Parlimen, bertindak bertentangan dengan ajaran dan budaya Islam dan telah menghantar anggota keluarganya termasuk anak, saudara-mara serta penyokongnya untuk menyerang defendan secara fizikal.

Tajuddin juga mendakwa ketiga-tiga defendan enggan mengemukakan permohonan maaf serta enggan menarik balik kenyataan fitnah itu meskipun notis tuntutan telah dihantar kepada kesemua defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am,  teruk dan teladan, faedah serta kos yang sesuai oleh mahkamah. - Bernama