KUALA LUMPUR - Kes saman fitnah difailkan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad terhadap The New Straits Times Press (M) Bhd dan tiga lagi berhubung penerbitan artikel membabitkan isu Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355, hari ini berjaya diselesaikan di Mahkamah Tinggi di sini.

Peguam Muhammad Faiz Fadzil yang mewakili Khalid, berkata kesemua pihak bersetuju menyelesaikan kes saman berdasarkan terma iaitu kesemua defendan dikehendaki membayar ganti rugi berjumlah RM60,000 kepada plaintif (Khalid) dalam tempoh 30 hari bermula hari ini.

Kesemua defendan juga bersetuju untuk menerbitkan artikel yang mengandungi wawancara khas dengan Khalid bagi menjelaskan pandangan beliau mengenai isu RUU355, katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata penyelesaian kes saman itu direkodkan di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Aliza Sulaiman dengan dihadiri peguam Datuk M. Reza Hassan.

Reza mewakili bekas Ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) Datuk Mahfar Ali, dua wartawan akhbar BH Hazwan Faisal Mohamad dan Rohaniza Idris serta penerbit akhbar itu The New Straits Times selaku defendan.

Pada 3 Februari 2017, Khalid, yang juga Ahli Parlimen Shah Alam memfailkan saman itu selepas mendakwa BH telah menerbitkan artikel berunsur fitnah terhadapnya bertajuk: "Selepas 20 tahun terhalang, rang undang-undang Mahkamah Syariah akhirnya dibentang di Parlimen, Kerajaan beri PAS laluan, DAP; Amanah bantah", pada 27 Mei 2016.

Plaintif mendakwa artikel yang mengandungi perkataan fitnah itu seolah-olah menggambarkan bahawa beliau pemimpin yang menentang pelaksanaan hukum syarak termasuk hukum hudud, bermusuhan dengan PAS walaupun dalam isu kepentingan umat Islam, menentang pemerkasaan Mahkamah Syariah dan seorang pemimpin yang mengikut telunjuk pemimpin politik bukan Islam.

Sementara itu, Khalid, ketika ditemui di luar mahkamah, berkata beliau berharap pihak media akan lebih bertanggungjawab dan memainkan peranan penting untuk menyampaikan berita sebenar serta bukannya mensensasikan sesuatu berita itu.

"Tindakan 'spin' sesuatu isu adalah tindakan yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab," katanya.- Bernama