KUALA LUMPUR - Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan dengan menggunakan botol minuman keras, di sebuah kedai serbaneka, bulan lepas.

Saharuddin Jamil, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dr  Gan Chee Keong.

Tertuduh didakwa melakukan rompakan bersenjatakan botol arak ke atas seorang juruwang warga Bangladesh, Kamarul Islam, 31, iaitu wang tunai RM880 dan sembilan kotak rokok jenis Dunhill merah di Kedai KK Supermart, Villa Shoplex Pudu Impian, Cheras, di sini pada 1.55 tengah hari, 27 Ogos lepas.

Dia dituduh mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Farith Muhammad Faizal tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius.

Bagaimanapun, ibu Saharuddin yang merupakan penjamin kepada anaknya, merayu jaminan rendah dengan alasan dia merupakan ibu tunggal serta tidak mampu membayar  jaminan yang tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali selain menetapkan 25 Sept untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen serta lantikan peguam. - Bernama