KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan merompak dijatuhi lagi hukuman penjara 30 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas satu lagi kesalahan merompak.

Hakim Rohatul Akmar Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Siah Chee Ming, 43, selepas tertuduh mengaku bersalah dan beliau diperintah menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Mahkamah turut memerintahkannya dipenjara empat bulan lagi jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Siah didakwa merompak seorang lelaki warga Bangladesh, Md Meraj Ahamed Khan, 24 yang bekerja di sebuah kedai serbaneka dengan mengambil 16 kotak rokok dan 18 coklat yang keseluruhan bernilai RM335.30 di 7Eleven Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, pada jam 2.37 pagi, 31 Julai lepas.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Kamarul Aris Kamalluddin memohon hukuman setimpal atas alasan tertuduh sedang menjalani hukuman di penjara atas kesalahan yang sama.

Bagaimanapun, bapa dua anak yang tidak diwakili peguam memohon hukuman diringankan dengan alasan dia penanggung utama keluarga kerana isterinya berusia 40 tahun diisytihar muflis dan tidak bekerja. - Bernama