GEORGETOWN - Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebuah negeri antara enam individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia( SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah.

Kesemua mereka dibawa ke Mahkamah Majistret Georgetown hari ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Majistret Muna Maria Azmi, memerintahkan Timbalan Pengarah JPJ Perlis itu dan seorang ejen insurans direman selama lima hari.

Perintah tahanan reman selama empat hari turut dikeluarkan ke atas seorang pegawai JPJ Perak, ejen insurans dan seorang kerani wanita sebuah syarikat swasta.

Turut ditahan reman selama empat hari ialah seorang kerani wanita berusia 39 tahun yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya.

Penahanan mereka dipercayai berhubung tindakan memberi dan menerima rasuah bagi menyelesaikan saman, prosedur keselamatan jalan raya dan pemalsuan lesen memandu.

Menurut sumber, Timbalan Pengarah JPJ Perlis itu terbabit dalam menerima wang rasuah daripada ejen insurans kenderaan dengan alasan membantu ejen membuat urusan di JPJ tanpa mengikut prosedur.

Sementara itu, pegawai JPJ Perak pula didakwa bersubahat dengan beberapa pegawai JPJ  Sabah  untuk mengeluarkan lesen memandu kepada beberapa individu tanpa melalui prosedur pengeluaran lesen memandu yang sah.

Kesemua mereka melakukan Kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.