SHAH ALAM - Dua anggota polis berpangkat Sub Inspektor dan Sarjan direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan dakwaan terlibat dalam rasuah untuk menutup saman trafik yang dikenakan ke atas pemilik kenderaan.

Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Shazali Hidayat Shariff terhadap kedua-dua anggota polis berumur 38 dan 53 tahun itu yang bertugas di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kedua-dua anggota polis itu ditahan pukul 12.30 tengahari dan 9 malam semalam selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM, Selangor.

Katanya, kegiatan tersebut dipercayai dilakukan sejak 2012 dengan nilai suapan antara RM300 hingga RM500 sehari.

"Tangkapan ini juga adalah susulan penahanan tiga anggota polis semalam yang dipercayai kesemua mereka mempunyai rangkaian kegiatan rasuah yang sama. Kita percaya anggota polis berpangkat Sub Inspektor yang bertugas di Bukit Aman itu adalah dalang dalam kes ini," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semalam, SPRM telah mendapat kebenaran untuk menahan reman lima hari tiga anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal yang berumur antara 29 dan 33 tahun, bagi membantu siasatan berhubung kes yang sama. - Bernama