KUALA LUMPUR - Kes saman bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan terhadap Mohd Rafizi Ramli selesai selepas Naib Presiden PKR itu memohon maaf kepadanya atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah berhubung penganjuran Ekspo Negaraku 2017.

Kenyataan permohonan maaf Mohd Rafizi dibacakan peguam yang mewakilinya, Abdul Halim Abdul Karim di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Abd Wahab dengan dihadiri peguam Datuk M. Reza Hassan mewakili Abdul Rahman.

Mohd Rafizi, 41, dan Abdul Rahman, 53, tidak hadir pada prosiding hari ini, yang sepatutnya ditetapkan untuk perbicaraan sehingga 5 September.

Abdul Halim ketika membacakan kenyataan itu berkata anak guamnya telah mendapat maklumat daripada wartawan berhubung pemberian kontrak penganjuran Ekspo Negaraku oleh Unit Perancangan Ekonomi diterajui oleh Abdul Rahman kepada syarikat yang dikenali sebagai PICO Integrated Exhibit Sdn Bhd, kononnya merupakan milik saudara kandung Abdul Rahman iaitu Raslan Dahlan.

Peguam itu berkata Mohd Rafizi mengakui bahawa beliau hanya bergantung kepada maklumat daripada wartawan dan tidak membuat semakan selanjutnya mengenai identiti Raslan yang merupakan CEO kepada PICO Integrated.

"Saya (Mohd Rafizi) kemudiannya menyedari bahawa saya telah tersilap memandangkan Abdul Rahman tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Raslan mahupun PICO Integrated.

"Oleh itu, saya (Mohd Rafizi) mengakui kesilapan saya dan meminta maaf setulus hati kepada Abdul Rahman akibat tindakan saya. Saya amat menyelesali tindakan saya itu dan tidak berniat untuk menimbulkan keaiban kepada Abdul Rahman serta berjanji untuk tidak akan mengulanginya lagi," menurut kenyataan yang dibacakan Abdul Halim.

Di awal prosiding, M. Reza memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak telah menandatangani deraf penghakiman persetujuan untuk menyelesaikan kes saman berkenaan.

Peguam itu berkata plaintif (Abdul Rahman) juga telah menerima permohonan maaf daripada defendan (Mohd Rafizi) dan seterusnya menarik balik tuntutan saman tersebut.

Selepas Abdul Halim selesai membacakan kenyataan maaf daripada Mohd Rafizi, Hakim Mohd Zaki kemudiannya merekodkan penghakiman persetujuan  dan memerintahkan defendan (Mohd Rafizi) membayar kos RM20,000 kepada Abdul Rahman.

"Penghakiman persetujuan itu adalah satu penyelesaian penuh dan muktamad serta pihak terlibat tidak mempunyai sebarang hak untuk memfailkan apa-apa tuntutan berkenaan tindakan ini," kata hakim itu yang turut berterima kasih kesemua pihak kerana menyelesaikan tuntutan saman berkenaan.

Pada 30 Januari lalu, Abdul Rahman menyaman Mohd Rafizi selepas mendakwa pada 10 November 2017, Mohd Rafizi melalui status di laman Facebook miliknya memaklumkan akan mengadakan sidang media bagi mendedahkan penyelewengan membabitkan seorang menteri.

Bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Sabah itu mendakwa Mohd Rafizi mengadakan sidang media bertajuk ‘Skandal Baru Umno Menteri Mana Pula Yang Kena?”, yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook miliknya iaitu Rafizi Ramli @ rafiziramli.keadilan di pejabatnya di Sungai Besi, di sini pada 11 Disember 2017, dengan dihadiri wartawan dari pelbagai media.

Dakwanya, defendan dengan berniat jahat menerbitkan kenyataan fitnah itu yang merujuk kepadanya dan antara lain membawa maksud bahawa plaintif tidak jujur dan korup serta menuduhnya terbabit dengan transaksi yang mengelirukan. - Bernama