KUALA KANGSAR - Seorang Lans Koperal melakukan sujud syukur di perkarangan mahkamah selepas dia dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan mencuri RM200 oleh mahkamah majistret di sini, hari ini.

Sa’dat Abdul Manab, 33, yang kelihatan sebak turut menerima ucapan tahniah daripada rakan-rakan yang mengikut prosiding sebaik sahaja mahkamah mengumumkan keputusan.

Lelaki itu dilepas dan dibebaskan di akhir kes pendakwaan selepas majistret Noorhidayah Mohd Saad mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Terdahulu, Sa’dat didakwa mencuri wang RM200 milik Muhamad Alif Shahar, 25, di Kilometer 243.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Ipoh pada jam 4.40 petang, 13 Julai 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama dan boleh dipenjarakan dan didenda serta dikenakan sebatan bagi kesalahan kedua.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam R S N Rayer. - Bernama