SEREMBAN - Seorang koperal polis ditahan reman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah RM1,500 berhubung penggajian tiga warga Bangladesh yang memiliki permit kerja luar kawasan.

Perintah reman itu dikeluarkan  oleh Majistret Rahimah Rahim di sini yang membenarkan permohonan  Suruhanjaya Pencegahan  Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan bagi membantu siasatan menurut  Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Menurut SPRM, pada 24 Ogos lalu kira-kira 10 pagi, anggota polis berusia 49 tahun yang bertugas di Balai Polis Tanjung Ipoh, Kuala Pilah itu didakwa meminta dan menerima wang rasuah sebanyak RM1,000 daripada pengadu yang bekerja sebagai jurukimpal.

Ini sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya yang menggajikan  tiga pekerja warga Bangladesh yang memiliki permit kerja luar kawasan.

Pada hari yang sama juga suspek telah meminta wang rasuah RM500 dibayar kepadanya pada  20 haribulan setiap bulan.

Semalam, suspek ditangkap SPRM sejurus menerima wang rasuah RM500 itu. - Bernama