SEREMBAN - Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas pertuduhan merogol seorang gadis bawah umur di Port Dickson, bulan lalu.

Tertuduh, Zulhilmi Zulkifli, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Junaidah Mohd Isa.

Dia didakwa merogol seorang gadis bawah umur di sebuah rumah di Port Dickson kira-kira jam 2 pagi pada 8 September lalu.

Berikutan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, duda anak satu itu merayu mahkamah mengurangkan ikat jamin kerana ibunya baru menjalani pembedahan mata dan ayahnya sudah pencen.

Mahkamah membenarkan jaminan  RM7,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri di Balai Polis Port Dickson setiap 15 hari bulan.

Selain itu tertuduh tidak dibenarkan menghubungi atau berkomunikasi dengan mangsa dan menetapkan sebutan semula kes pada 30 Januari 2019.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nurhafiza Harun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.