IPOH - Seorang pengawal keselamatan mengaku salah di Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini terhadap pertuduhan memiliki sepucuk pistol tanpa kebenaran yang digunakan dalam satu kejadian tembak di sebuah kilang farmasi di Seri Iskandar, hujung bulan lalu.

Mohd Halin Jabar, 52, dituduh memiliki sepucuk pistol jenis semi auto nombor siri 83451 di pos pengawal Idaman Pharma Manufacturing Sdn Bhd pada jam 7.55 malam, 31 Ogos lalu.

Dia didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) Akta 37 1971 yang memperuntukkan penjara hingga 14 tahun dan tidak lebih enam sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Murtazadi Amran kemudiannya menetapkan 19 September ini sebagai tarikh jatuh hukum.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Fauzi Md Yusof.

Bagaimanapun, tertuduh yang beralamat dari Lambor Kanan, Parit tidak diwakili peguam.

Dalam kejadian itu, mangsa Masri Pandak, 37, yang juga merupakan rakan setugasnya, ditemui mati dalam pondok pengawal dengan kesan tembakan di dada kiri.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati yang berlarutan akibat pertelingkahan berkaitan isu gaji.

Mohd Halin ditahan ketika mahu menyusup masuk ke rumahnya di Kampung Paloh, Telok Bakong Lambor Kanan, 2 September lalu.