PETALING JAYA- Seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membuat panggilan palsu meletakkan bom di dalam Bangunan Sri Pentas, Bandar Utama, Damansara, minggu lalu.

Nur Azhan Kamaluddin, 46, didakwa melakukan ugutan jenayah dengan membuat panggilan telefon ke pusat kawalan daerah Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya menyatakan telah meletakkan bom di Sri Pentas TV3,  pada pukul 10.12 malam, 28 Ogos lalu mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, ketika ditanya Majistret Salamiah Salleh mengenai kesihatannya, tertuduh mengakui bahawa dia mempunyai masalah mental sejak 20 tahun lalu.

"Saya ada penyakit jantung dan mental. Masa kejadian saya ada makan ubat tidur tapi tidak boleh tidur," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim tidak menawarkan sebarang wang jaminan namun pihaknya menyerahkan kepada  budi bicara mahkamah sama ada untuk membenarkan jaminan atau tidak.

"Tertuduh mempunyai masalah mental dan turut disertakan laporan perubatan mental. Ketika siasatan dijalankan, tertuduh menganggap dirinya Tuhan, jadi saya mohon tertuduh dirujuk ke hospital mental," katanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak untuk pemeriksaan kesihatan dan menetapkan 4 Oktober  untuk laporan perubatan disediakan dan jaminan juga tidak dibenarkan kerana tertuduh akan dihantar ke hospital itu.

Pada 28 Ogos lalu, Bangunan Sri Pentas diarah untuk dikosongkan serta-merta  susulan  panggilan ancaman bom namun  polis mengesahkan tiada objek mencurigakan ditemui.- Bernama