KUALA LUMPUR - Gara-gara mengugut ibunya dengan berkata 'you diam aku bunuh kau’, seorang lelaki dipenjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhkan hukuman itu ke atas M. Shankarganes, 34, seorang penganggur selepas dia mengaku bersalah mengugut dengan niat mendatangkan ketakutan terhadap V. Susila Devi, 60, di rumah mereka di Jalan Sungai Besi, Cheras pada 2.45 petang, 1 Julai lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh, yang kelihatan sugul semasa prosiding itu, menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 1 Julai lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada tertuduh, bagaimanapun Shankarganes yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. –Bernama