JOHOR BAHRU - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini terhadap  tiga pertuduhan melakukan khianat membakar rumah jirannya akhir bulan lalu.

Tertuduh, Ramlan Madon, 50, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Faiz Dziyauddin.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api dengan maksud hendak menyebabkan kebinasaan ke atas tiga buah rumah milik Suhaili Abu Bakar, Samakyah Johari serta Suzana Abu Bakar.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu  di Jalan Surau, Kampung Melayu Pandan, di sini, kira-kira jam 9 malam, 25 November lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang boleh  dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 6 Januari depan sebagai tarikh sebutan kes selain mengarahkan tertuduh mendapatkan pemeriksaan kesihatan di Hospital Permai, Johor Bahru.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suhaili Sapun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.