TAIPING - Seorang penganggur dihadapkan ke mahkamah majistret di sini pagi ini atas pertuduhan membunuh rakannya di bangunan rumah kedai dekat Jalan Panggung Wayang, di sini awal pagi ini.

Tertuduh, Abdul Rahman Abdollah, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd Hairol Jemain.

Tertuduh didakwa membunuh Freddie Lim Kok Ching, 38, di tingkat tiga bangunan rumah kedai dekat Jalan Panggung Wayang kira-kira pukul 10.42 pagi pada 2 November lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Raihan Rithwan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada jaminan ditawarkan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan tarikh 8 Januari tahun depan untuk laporan bedah siasat dan sebutan semula kes.