KUANTAN - Pengusaha suami isteri yang juga pemilik sebuah pusat tahfiz di Kuantan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini hari ini atas pertuduhan menganiaya lima kanak-kanak berusia 7 hingga 12 tahun.

Tertuduh, Uji Che Mat, 43 dan suaminya, Mohd Zamzuri Abdul Manap, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan didakwa ke atas mereka di hadapan Hakim Dasuki Ali.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Uji didakwa menganiaya seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dengan menyalakan pemetik api pada kemaluan mangsa dan mengacukan gunting pokok berulang kali sambil mengugut mahu memotong kemaluannya.

Kesalahan dilakukan di Ribath Tahfiz Asy-Syirazi, Tok Sira di Jalan Tengku Muhammad di sini, pada jam 11.51 pagi, 18 Ogos lalu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksima 20 tahun jika sabit kesalahan.

Uji juga turut dituduh mencabul kehormatan mangsa yang sama pada tempat dan masa yang sama dengan cara memegang dan menarik kemaluan mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Uji dan Mohd Zamzuri didakwa bersama atas empat tuduhan menganiaya empat kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun di bawah jagaan mereka dengan cara merotan berulang kali hingga mengalami kecederaan fizikal di pusat tahfiz sama dari 2 Januari 2017 hingga 31 Januari 2017.

Bagi kesalahan itu, pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksima 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Mohd Zamzuri juga turut berdepan satu lagi tuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) akta sama kerana merotan seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun di pusat tahfiz itu pada jam 8.18 malam 11 Ogos lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari meminta mahkamah memberikan jaminan RM105,000 ke atas Uji dan RM75,000 kepada Mohd Zamzuri, masing-masing dengan seorang pejamin.

Dasuki kemudian membenarkan Uji dan Mohd Zamduri masing-masing diikat jamin sebanyak RM25,000 dan RM20,000 untuk semua pertuduhan selain menetapkan 4 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Beliau turut menetapkan syarat tambahan kepada kedua-dua tertuduh supaya tidak mengganggu atau menghubungi mangsa atau keluarga mangsa sepanjang kes berkenaan berlangsung.

[ARTIKEL BERKAITAN: Video dera tular: Dua guru tahfiz ditahan]