KUALA LUMPUR - Seorang pembuat pau didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas tuduhan menumbuk muka seorang doktor sehingga cedera parah, dua hari lepas.

Syed Azhar Muhammed Ali, 24, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.

Lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap Doktor S.Muruga Prakash, yang bekerja di sebuah hospital kerajaan, pada 8 pagi, 5 September lalu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di kaki lima bangunan Hatta Square, Jalan Mewah 1/3, Pandan Mewah, di sini mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Wee Li menawarkan wang jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin namun mahkamah membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 10 Oktober untuk sebutan semula kes.- Bernama