MELAKA TENGAH - Seorang pembantu kedai makan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini atas tuduhan cuba menikam ibu kandungnya, empat bulan lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Haiqal Hamdan, 23, dari Tanjung Keling mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan di hadapan Majistret Lee Kim Keat.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Haiqal didakwa menakutkan secara jenayah terhadap seorang wanita iaitu ibunya Julia Ali, 44, di sebuah rumah di Jalan Klebang Kecil pada jam 11 pagi, 17 Julai 2018.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan ugutan sama terhadap bapa tirinya Lili Noorazahar Mahani, 45, pada masa, tarikh dan lokasi yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan pendakwa raya Intan Lyana Zainal Abidin meminta mahkamah memberikan jaminan RM8,000 bagi setiap pertuduhan.

Namun tertuduh merayu supaya jaminan rendah diberikan kepadanya dengan alasan perlu menjaga nenek yang sakit dan hanya berkerja sebagai pembantu kedai.

Selepas mendengar rayuan itu, Kim Keat membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan kes disebut semula pada 11 Disember ini.