SEREMBAN - Seorang pemandu lori sebuah syarikat logistik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas 14 pertuduhan pecah amanah, tahun lepas.

Tertuduh, Zahari Mamat, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadapnya di hadapan Hakim G. Ramesh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesemua transaksi pengisian minyak diesel menggunakan kad minyak milik syarikat di stesen minyak Petronas Taman Semarak, Nilai di sini untuk kegunaan sendiri.

Kesemua kesalahan itu dilakukan pada 2 hingga 9 Julai dan 2 hingga 7 Ogos 2017, membabitkan nilai keseluruhan transaksi berjumlah RM6,500.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurhafiza Harun manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Zahid Ahmad dan M. Sivam.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah dan boleh dipenjara hingga 14 tahun dan sebat serta dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ramesh kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM34,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri di Balai Polis Nilai pada Ahad minggu pertama setiap bulan serta menetapkan 27 September depan sebagai tarikh sebutan semula. - Bernama