KUALA LUMPUR - Seorang pemandu bas sekolah didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penganggur, Ogos lepas.

Mohd Dahreen Yunus, 30, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Wong Chai Sai.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Lelaki itu didakwa membunuh S. Yesuva, 22, di tepi jalan 5/154, Taman Bukit Anggerik, Cheras di sini, antara 11 pagi dan 12 tengah hari, 23 Ogos lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Redzuan Mohamed Yusoff.

Mahkamah menetapkan 5 November untuk sebutan semula kes. - Bernama