KUANTAN- Seorang pekerja ladang sawit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tuduhan merogol anak kandungnya, seorang murid Tahun Lima, awal bulan lepas.

Pengakuan tertuduh berumur 54 tahun itu direkodkan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 11 tahun enam bulan itu pada 4 petang, 3 Ogos lepas di sebuah rumah di Taman Sungai Isap Jaya di sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farahah Mohd Nazari mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan tidak melebihi 10 kali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Dazuki kemudian menetapkan 4 Oktober untuk tarikh sebutan semula dan lantikan peguam. - Bernama