KUANTAN - Pengusaha kebun sayur haram warga Bangladesh dihadapkan ke  Mahkamah Sesyen Kuantan, di sini, hari ini atas dua  tuduhan rasuah.

Rayhan Shahid, 45  mengaku tidak bersalah atas kedua-dua tuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.

Tertuduh diwakili peguam, Mohamad Zakwan Mokhtar dakwa melakukan kesalahan itu pada 13 Mei dan 21 Mei 2015 di dua lokasi berasingan di Tanah Rata, Cameron Highlands.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11 malam di Coffee House, Hotel Heritage, Cameron Highlands dengan memberi suapan berjumlah RM3,000 kepada Timbalan Komander Operasi Ops Gading, Sanifah Yusof bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan terhadap tanah kebun diusahakan di Lembah Bertam, dekat Cameron Highlands.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di Restoran Strawberry Park Resort dengan memberikan suapan berjumlah RM2,000 kepada orang sama bagi mengelak dikenakan tindakan melakukan kesalahan mengikut Kanun Tanah Negara kerana mengusahakan tanah kebun secara tidak sah.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama.

Mohd Ghazali  mengarahkan tertuduh yang ditahan pada 1 Julai 2015, dikenakan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Tarikh sebutan seterusnya ditetapkan 17 Oktober depan.