KUALA LUMPUR - Firma guaman mewakili 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di dalam saman bekas Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan untuk mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor memulangkan set rantai leher termasuk berlian merah jambu 22 karat bernilai AS$27.3 juta didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB, telah menarik diri daripada mewakili 1MDB.   

Peguam Datuk Tan Hock Chuan mewakili 1MDB memberitahu, firma guaman itu, Tan Hock Chuan & Co memohon menarik diri daripada mewakili syarikat itu kerana mereka tidak mendapat arahan daripada 1MDB.

“Mahkamah membenarkan permohonan kami...pada masa ini 1MDB tidak mempunyai peguam, tetapi kami akan memaklumkan syarikat berkenaan,” katanya selepas bertemu dengan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dalam kamar, hari ini.

Sementara itu, peguam Damien Chan mewakili Khairuddin berkata, mahkamah menangguhkan pendengaran yang dipohon oleh defendan Rosmah iaitu Low Taek Jho atau Jho Lo dan 1MDB bagi membatalkan saman Khairuddin pada 21 Jun untuk pengurusan kes.

Pada hari ini, mahkamah dijadualkan mendengar permohonan daripada tiga defendan untuk membatalkan saman difailkan Khairuddin terhadap mereka.

Defendan memfailkan permohonan itu pada 7 September 2017, dengan alasan Khairudin tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman terhadap mereka.

Khairuddin memfailkan saman pada 16 Ogos 2017 dan mendakwa antara Jun 2013 hingga Mac 2014, Jho Low menerusi ejennya telah membeli set barang kemas itu daripada peniaga barang kemas, New York Lorraine bernilai AS$27.3 juta dan beliau mendakwa wang yang digunakan diambil daripada 1MDB.

Khairuddin juga mendakwa barang kemas berkenaan, dalam bentuk berlian berwarna merah jambu  bernilai AS$23 juta dan rantai leher bernilai AS$4.3 juta, diterima Rosmah sebagai hadiah pada Mac 2014.

Oleh demikian, beliau memohon mendapatkan perintah mahkamah agar Rosmah mengembalikan barang kemas berkenaan kepada 1MDB dan Jho Low membayar jumlah wang yang didakwa  diambil daripada 1MDB di samping ganti rugi, kos dan relif lain yang dianggap wajar oleh mahkamah. - Bernama