SHAH ALAM - Pas masih boleh dianggap bebas rasuah meskipun bekas Adunnya menjadi individu pertama dalam parti disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 28 tahun lalu.

Ahmad Amzar Ahmad Azlan yang merupakan salah seorang barisan peguam Pas berkata, konsep bebas rasuah adalah selagi mana ia tidak dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan.

"Selagi mana kes ini tidak dibawa ke mahkamah dan dipersabitkan, kita masih anggap konsep bebas rasuah masih ada," katanya.

Bagaimanapun beliau yang juga peguam bela bekas Adun berkenaan tidak menolak timbul persepsi negatif terhadap parti itu.

"Persepsi mungkin ada tapi genuine kes tiada," katanya.

Dakwanya, kemungkinan ada pihak yang tidak senang dengan rekod bersih rasuah yang dipegang Pas.

"Mungkin sebab-sebab tertentu atau ada pihak luar cuba untuk calarkan imej Pas, jadi kena buat sesuatu," katanya.

Semalam, bekas Adun berusia 56 tahun itu direman dua hari sekali gus meleburkan rekod bersih Pas yang bebas daripada sebarang siasatan SPRM.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Adun Pas direman SPRM]

[ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Adun wanita ditahan SPRM ]

[ARTIKEL BERKAITAN: SPRM didakwa sengaja tahan bekas Adun]

[ARTIKEL BERKAITAN: 92 ahli politik disiasat SPRM]

Ahmad Amzar turut mendakwa SPRM sengaja menahan anak guamnya tatkala Pas sedang berhadapan dengan PRK Seri Setia, Sabtu ini.

Pada 23 Mac lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendedahkan rahsia pemimpin Pas bebas rasuah.

Sebelum ini, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Paul Low mengisytiharkan di Parlimen bahawa 92 pemimpin parti politik disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2013-2017.

Fakta menunjukkan bahawa 71 daripadanya adalah dari BN manakala selebihnya 21 orang dari parti komponen PH dan ia secara tidak langsung mengiktiraf pemimpin Pas sebagai bebas rasuah.