KUALA LUMPUR - Gara-gara mengolah gambar kekasih untuk memaparkannya sebagai perempuan murahan, seorang mekanik didenda RM5,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini .

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Omar Aliff Rosli, 32, selepas tertuduh mengaku bersalah atas perbuatannya.

Mengikut tuduhan, lelaki itu telah dengan niat hendak mengaibkan kehormatan mangsa, 36, yang bekerja sendiri, sehingga mengganggu kesantunan mangsa, dengan cara mengolah gambar mangsa sebagai perempuan sundal dan menghantar gambar itu kepada mangsa melalui aplikasi WhatsApp.

Dia melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Bayu Kemensah 1, Taman Bayu Kemensah, di sini antara Januari dan Ogos lepas mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memberitahu dia tidak menyangka mangsa akan membuat laporan polis kerana dia sudah lama bergaduh dengan mangsa dan perkara itu telah lama berlaku.

Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memohon tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira tindakan tertuduh telah menjatuhkan maruah mangsa.

Difahamkan tertuduh telah menyunting gambar mangsa dengan meletakkan ayat seolah-olah mangsa seorang perempuan murahan dan melakukan perbuatan itu kerana berang dengan mangsa yang tidak mahu menjalin semula hubungan dengannya. - Bernama