KUALA LUMPUR - Dua rakan masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki sebilah pisau kepala tali pinggang di parkir Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Mei lalu.

Mohamad Habib Abdul Jabar, 32, peniaga aiskrim goyang dan Jamalhayat Ahmad Sani, 29, pelukis pelan sambilan, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Dr Gan Chee Keong.

Kedua-dua lelaki itu didakwa memiliki pisau kepala tali pinggang berukuran 16.5 sentimeter yang merupakan senjata berbahaya di parkir Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini pukul 1.15 tengah hari pada 22 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan  Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya N Joy Jothy tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan mahkamah  tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana  tiada penjamin mereka hadir di mahkamah.

Mahkamah menetapkan 26 Jun untuk sebutan semula kes bagi Mohamad Habib dan 10 Julai bagi Jamalhayat. - Bernama