ALOR SETAR - Keseronokan bermain judi 'belangkas' di kawasan kebun, di daerah Pendang, empat hari lalu, mengundang padah apabila  seorang wanita berusia 70 tahun bersama enam lagi lelaki didenda oleh mahkamah majistret, di sini, hari ini.

Tertuduh, Lim Sai Kim, 70, Mahadir Mat Nanyan,46, Zabidi Ahmad,56, Wan Mohd Helmi Jamaludin, 35, Ewat Din Seng,74, Othman Md Piah, 63, dan Abdul Aziz Zainudin, 26, disabitkan kesalahan selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Majistret Noor Farah Hazwani Osman menerima pengakuan bersalah daripada kesemua tertuduh menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau enam bulan penjara ke atas Mahadir kerana dia mempunyai rekod lampau bagi kesalahan yang sama, pada  tahun 2010.

Manakala, enam lagi tertuduh didenda RM1,500 atau diperintah menjalani hukuman penjara tiga bulan.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bermain judi 'belangkas' dengan pertaruhan wang tunai di tempat awam.

Kesemua mereka disabitkan melakukan kesalahan itu di kawasan kebun, Kampung Lampan, Kubur Panjang di Pendang, pada jam 6.40 petang, 9 September lalu.

Untuk kesalahan itu, mereka disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 7(2)  Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-dua sekali.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Qatrin Nada Harun.